KEK MARBLE LEMBAP
Assalammualaikum. Baru ada masa nak update blog. Hari ni che mat bikin kek, kek marble lembap yang lembut. lembap dan harum dengan bau mentega. Dah 3-4 hari sebenarnya bercadang nak mem banking, tapi ada saja hal lain. Mentega pulak asyik keluar masuk peti sejuk. Baki mentega masa che mat bikin kek raya tu hari masih ada. Dari menyibuk dalam peti sejuk, baik gunakan untuk buat kek. Resipi asal menggunakan tin 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci, tapi che mat buat dalam bundt - pan. Boleh juga dibakar dalam tin bulat 9 inci. Kek akan menurun sedikit selepas dibakar, ini biasa berdasarkan bahan2 yang digunakan. Tapi ia tetap mengekalkan bentuknya, maksud che mat ia tak mengecut...
Cara membuatnya sedikit berbeza dari kek biasa. Kaedahnya seakan2 membuat kek lapis, dan ini menjadikan kek lembut dan gebu. Telur yang digunakan juga perlu disejukkan dalam peti sejuk. Kadang2 che mat baca di timeline FB, ada yang mengeluh bila kek yang mereka bikin kurang menjadi dengan sempurna atau tidak jadi langsung. Nasihat che mat, sebelum buat baca betul2 bahan yang digunakan terutama sukatan. Jika dalam resipi guna cawan, gunalah cawan, jika timbang, gunakan timbang. Mesin penimbang bahan2 kek pun tidak lah mahal sangat. Nak lebih jitu boleh guna mesin timbang digital. Ini semua memudahkan kerja anda. Resipi asal dari Kak Azie yang comel, ayu dan handal didapur....Terima kasih kak, sudi berkongsi resipi...Jomm kita bakar kek pulak..
BAHAN-BAHANNYA :-)
230 gram mentega
170 gram tepung gandum*
1 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
5 biji telur gred A, asing kuning dan putih
150 gram gula kastor (resipi asal guna 170 gram)
3 camca besar susu pekat manis
1 camca besar ovallate
1 camca teh esen vanilla
3 camca besar sebuk koko + 4 camca besar air panas + 1 camca teh perisa mocha = kacau hingga jadi pes
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan oven pada suhu 170C, lenser tin kek berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi (che mat guna bundt-pan atau acuan kek berlubang tengah, hanya perlu lenser dengan mentega rata2). Ketepikan.
- Putar mentega, susu pekat manis hingga kembang dan putih. Ketepikan. Dalam mangkuk kering dan bersih, putar putih telur hingga berbuih. Masukkan gula sedikit demi sedikit hingga habis. Terus putar hingga putih telur kental.
- Masukkan ovallate dan putar lagi hinga sebati. Sederhanakan kelajuan dan masukkan kuning telur satu persatu hingga habis. Kemudian masukkan pula adunan mentega, putar hingga sebati. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar hingga rata dan sebati. Tambah esen vanilla dan kacau rata.
- Cedok keluar 1/3 bahagian adunan dan tambah bancuhan serbuk koko tadi dan kacau rata2. Tuang 1/2 bahagian adunan biasa, kemudian adunan coklat (tinggalkan sedikit) dan tuang lagi baki adunan biasa hingga habis. Baki adunan coklat ditepek2kan atasnya. Menggunakan chopstick atau pisau, buat beberapa pusingan.
- Bakar kek dalam oven yang telah dipanaskan selama 50 minit atau hingga masak. Kek akan turun sedikit bila sejuk. Hidangkan untuk minum petang..
No comments:
Post a Comment